Assalamualaikum Gorgeous Mothers!
Sekiranya anda membaca post ini, saya percaya anda adalah seorang ibu yang mengambil berat tentang perkembangan anak2 dan hendak memberi yang terbaik untuk anak2 anda. Semoga Allah menunjukkan kita semua, cara yang terbaik untuk mendidik anak2 kita, bukan berdasarkan apa yang dunia mahu semata-mata, tetapi yang paling utama ialah apa yang Allah SWT mahu (SubhanAllah, may He guide me).
gambar dr internet
Sebelum itu, saya suka tekankan di sini, bahawa segala apa yang saya kongsikan adalah berdasarkan pengalaman dan pembacaan yang telah saya lalui sebagai seorang ibu. Dan saya perlu ingatkan bahawa saya adalah seorang manusia, yang tidak sempurna. Saya tidak tahu semua perkara. Dan saya tidak kenal anak2 ibu lain sepertimana saya kenal anak2 saya. Maka, setiap ibu adalah berhak untuk mencari cara atau jalan yang tersendiri untuk beri yang terbaik kepada anak masing2. Saya tiada hak untuk kata cara yang saya kongsi adalah terbaik. Yang terbaik cuma Allah. Saya berkongsi dengan niat dapat membantu atau memberi idea kepada yang perlu. Semoga Allah permudahkan usaha kita sebagai ibu
Membaca Perlu Dipupuk Secara Semulajadi
Setiap ibu ada pendapat masing2 tentang bila anak2 mereka perlu mula membaca. Pada pendapat saya, membaca itu perlu dipelajari secara ‘natural‘ atau semulajadi. Maksud ‘natural’ yang saya fahami ialah seperti contoh perkembangan bayi kita, dari berbaring, ke meniarap, merangkak dan terus berjalan. Saya rasa semua ibu bapa yang berpengalaman membesarkan anak2 telah perhatikan bahawa semua proses ini tidak perlu dipaksa. Secara tiba2 anak kita boleh sahaja menguasai skil-skil tertentu. Saya tidak nafikan betapa sokongan dan panduan yang kita berikan seperti contoh pegang tangan anak untuk dia bertatih, amat membantu untuk memudahkan anak kita menguasai skil tersebut. Dan saya sedar bahawa bantuan/sokongan yang perlu kita berikan bagi anak2 menguasai skil-skil adalah bergantung kepada ‘kesusahan’ atau complexity skil tersebut.
Yang saya nampak, begitu juga aktiviti membaca. Minat membaca perlu dipupuk secara perlahan2, dan dilakukan dalam keadaan yang tenang dan gembira, tiada paksaan. Kanak2 perlu lihat buku sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan bukan sesuatu yang ‘ditakuti’ atau ‘seram’. Kanak2 yang minat membaca, secara automatik akan belajar membaca dengan sendiri kerana sikap ingin tahu yang dia ada.
Aleeyah membaca semasa ambil ‘nebulization‘. Walaupun dia bukan lah boleh baca semua perkataan, tetapi yang penting timbulkan minat dahulu. Sesetengan kajian mengatakan ‘pretend reading’ adalah langkah awal yang penting dalam membina skil membaca.
Adalah suatu perkara yang memenatkan untuk memaksa seseorang melakukan sesuatu yang dia tidak suka. Sangat penat! Seperti menolak bukit! Tetapi adalah senang untuk memberi galakan kepada seseorang yang memang minat, dan bersedia ‘bergerak’ atau belajar.
Saya pernah lihat dan dengar beberapa situasi di mana cuma di sekolah sahaja anak2 memegang buku, atau belajar membaca. Saya juga pernah lihat kanak2 yang apabila pegang buku, dia akan menggigil ketakutan, atau terus diam. Saya tertanya2 kenapa, dan saya rasa saya sudah semakin faham mengapa, insyaAllah akan saya tulis di post yang lain.
Saya mempunyai pegangan di mana ‘Mendidik Anak Membaca adalah Tanggungjawab IbuBapa‘. Sekolah cuma boleh ajar ‘phonetic sounds’ atau bunyi2 huruf untuk memberi kelancaran membaca dan juga menambahkan minat membaca dalam diri anak2. Tetapi ‘kerja’ sebenar perlu dilakukan oleh ibubapa kerana kita yang menjaga anak2 sejak mereka lahir. Selain daripada itu, saya perlu sedar bahawa jumlah masa anak2 di sekolah adalah cuma beberapa jam sehari, dan cuma pada hari persekolahan. Pada waktu yang lain, anak2 bersama saya. Dan saya dapat bayangkan, di rumah, saya cuma fokus kepada 3 orang anak, tetapi di sekolah, guru2 mereka bertanggungjawab untuk menjaga antara 12 ke 20 orang kanak2. Secara logik, saya dapat faham betapa pentingnya ibubapa memainkan peranan.
Ini adalah ‘mini library’ di kelas Aleeyah. Pemilihan sekolah yang mengajar anak2 membaca secara menyeronokkan, dan semulajadi banyak membantu, tetapi tanggungjawab sebenar adalah ke atas ibu bapa.
Saya selalu ingatkan diri saya supaya saya buat ini dengan ikhlas dan sabar, di mana saya tahu yang hasilnya saya tak nampak dalam masa terdekat, tetapi memakan masa bertahun2! Saya membaca dengan Aleeyah sejak umurnya 5 hari dan baru sekarang saya nampak hasilnya. Alhamdulillah Aleeyah suka membaca. Saya tidak perlu paksa dia untuk membaca. Dan perlahan2 saya nampak dia belajar membaca, secara semulajadi, iaitu dia sudah mula membaca ayat2 ringkas (dalam English). Perlu saya tekankan di sini, saya tidak pegang rotan dan saya tidak paksa dia untuk membaca buku2 dari siri belajar membaca berjam2 setiap hari. Dan saya tidak harapkan Aleeyah untuk menjadi lebih bagus dan lebih pantas membaca dari orang lain. Saya cuma mahu Aleeyah belajar membaca dengan gembira. Hidup bersaing dan hendak menunjuk siapa bagus amat penat, dan tidak diajar dalam AlQuran dan oleh Rasulullah SAW. Maka, tidak ada perlunya saya mengajar anak2 saya supaya hendak hidup dalam suasana untuk bertanding dan bersaing dengan orang. Yang penting ialah mereka lakukan terbaik dengan ikhlas, kerana Allah SWT (a long way for me to understand!)
Aqeel stress??
Sedikit Perkongsian – 6 Kaedah/Cara yang Saya Lakukan di Rumah
Inilah yang saya buat di rumah (tetapi, subhanAllah, saya bukanlah manusia yang sempurna, saya juga masih berusaha berikan yang terbaik). Semoga Allah berikan saya kekuatan:
- Saya Membaca. Saya teruskan aktiviti membaca kerana saya tahu anak2 saya ikut apa yang saya buat berbanding apa yang saya beritahu. Saya memang suka sgt membaca (walaupun bukan semua buku saya dah habis baca..hahaha)
Di antara buku2 yang saya suka baca. Buku ini ringkas dan berikan contoh2 yang praktikal untuk diaplikasikan oleh ibubapa.
- Bedtime Stories. Saya cuba yang terbaik untuk membaca bersama anak2 sebelum mereka tidur. Setakat ini untuk Aleeyah dan Azeem. Aqeel pasti ada dalam aktiviti ini, walaupun kadang2 dia buat Aleeyah dan Azeem marah sebab gigit/koyak buku, atau berebut dengan mereka Yang saya perhatikan, Aqeel tidak suka apabila saya bacakan dia sebuah buku yang khas untuk dia. Tetapi dia suka ‘sertai’ kakak dan abang . Itulah, setiap anak ada pilihan masing-masing.
Di antara buku2 untuk bedtime stories yang suka dibaca oleh anak2
- Sediakan Buku. Kami sediakan kepada mereka banyak buku2 untuk membaca, dan letak di ruangan ‘mini school’ di rumah. InsyaAllah saya akan kongsi tentang jenis2 buku yang sesuai dengan umur dan kehendak anak2, berdasarkan pengalaman dengan anak2 saya. Setiap kali sebelum tidur, Aleeyah dan Azeem pilih sendiri buku apa yang mereka hendak baca. Saya terpaksa hadkan satu buku setiap seorang. Kalau tidak mereka lewat tidur dan lewat bangun ke sekolah. Tetapi ada masa2 tertentu, contohnya apabila mereka lakukan perkara2 yang baik seperti bangun awal terus mandi sendiri, kadang2 saya beri ‘reward‘ dengan benarkan mereka baca 2 buku seorang
‘Mini school‘ kami di rumah pada September lalu. Belum ambil gambar terbaru ‘Library’ adalah di sebelah kiri, di dalam kotak hijau. Dan juga di rak sebelah kanan (tak kelihatan dalam gambar).
- Belajar Membaca. Apabila Aleeyah dalam keadaan yang tenang dan stabil, saya akan ajak Aleeyah membaca buku2 yang khas untuk belajar membaca. InsyaAllah saya akan kongsikan. Saya perhatikan Aleeyah lebih suka membaca buku2 yang ‘sebenar’ iaitu buku2 yang mempunyai jalan cerita yang menarik, yang mana penggunaan perkataannya tidak dihadkan. Buku2 di dalam siri belajar membaca mempunyai perkataan2 yang terhad (bagi memudahkan kanak2 membaca pada tahap2 tertentu), maka saya lihat ia kurang menarik minat kanak2. Tetapi saya cuba sedaya upaya supaya anak2 saya lihat buku2 tersebut sebagai buku yang ‘biasa’, bukan buku untuk belajar membaca.
Di antara buku2 siri belajar membaca di pasaran. Ada mcm2 jenis, dan berbeza2 konsep. InsyaAllah, saya boleh kongsi sedikit pengetahuan dan pengalaman tentang buku2 ini.
- Beli Buku/Pinjam Buku. Saya sangat suka ke kedai buku. Saya sering bawa anak2 ke kedai buku. Mereka pun sangat minat beli buku. Tetapi mungkin suami saya tak suka sangat sekiranya saya asyik beli! (hahahah). Sebaiknya saya bawa mereka ke perpustakaan. Ini adalah perkara yang perlu saya lakukan!
- Beri Sokongan Moral. Saya perhatikan kanak2 memerlukan sokongan yang padu untuk meyakinkan mereka bahawa mereka boleh membaca. Saya tidak gemar dengan cara memarahi kanak2 untuk menyuruh mereka membaca. Minta maaf, saya tahu memang ramai yang gemar cara ini. Seperti yang saya katakan, itu adalah pilihan masing2. Kerana pada saya, saya tidak suka dimarahi dan saya tidak suka buat sesuatu dalam masa yang panjang dengan dimarahi. Saya lebih suka buat sesuatu dengan rela dan diberi kebebasan untuk pilih yang terbaik. Jadi saya percaya anak2 saya rasa yang sama. Untuk beri sokongan ini, saya sebagai ibu perlu mempunyai kesabaran yang tinggi. Inilah apa yang saya selalu fikir, “Otak anak saya masih berkembang, saya tidak boleh paksa atau harapkan sesuatu yang tidak sampai dek pemikirannya!” Dan SubhanAllah, saya perhatikan anak2 ini memang Allah jadikan sgt unik dan pandai. Apabila kita selalu ulang cerita yang sama, hatta mungkin sekali sahaja kita baca bersama mereka, mereka ingat jalan cerita! Dan apabila usia semakin matang, seperti Aleeyah, dia mula pula hafal perkataan2 di dalam buku tersebut. Dan sgt menakjubkan apabila buku yang pernah dibaca cuma sekali, tetapi selepas setahun, dia masih boleh ingat jalan cerita, walaupun pada ketika saya bacakan, dia tiada respon! Maka, saya belajar, “Never Underestimate Our Children“
You can do it, sweetie!!
Saya cuba lakukan apa yang saya termampu sebagai ibu yang mempunyai 3 orang anak. Saya juga seorang isteri dan juga dalam masa yang sama suka untuk hadir ke kelas2 untuk tambah ilmu pengetahuan saya. Secara jujur, sebenarnya saya tidak dapat melakukan semua yang saya mahu, kerana banyak perkara perlu dilakukan. Dulu saya agak stress bila saya tak dapat mencapai matlamat tertentu. Kemudian, apa yang saya sedar ialah apabila saya hendak bertanding dengan ibu2 lain atau hendak anak2 saya lebih cepat/pantas membaca berbanding kanak2 lain, saya memang stress. Tetapi bila saya berhenti fikir sedemikian, dan ubah cara fikiran, saya rasa lebih tenang dalam mendidik anak2 untuk membaca. Dan saya nampak anak2 lebih gembira membaca. Semoga Allah tunjukkan saya dan anda semua jalan yang terbaik untuk anak2 kita.
InsyaAllah saya akan kongsi tentang jenis2 buku dan sedikit tentang kaedah belajar membaca. Semoga memberi manfaat.